Jenis-Jenis Kuasa yang Diamal dalam Konteks Perilaku Organisasi di Malaysia
October 30, 2023Pembelajaran Terfokus: Kelebihan Unik Program Micro-credential Dalam Konteks Bola Sepak
November 28, 2023Pada 26 Oktober 2023, para pelajar Diploma Kepolisan dan Penyiasatan (DPI) yang mengambil subjek Penyiasatan Tempat Kejadian (Crime Scene Investigation) telah melawat Muzium Anatomi, Jabatan Anatomi Fakulti Perubatan, UKM. Melalui lawatan sambil belajar ini, para pelajar DPI berpeluang menyelami dunia anatomi manusia yang sangat menakjubkan. Lawatan sambil belajar ke Muzium Anatomi ini membolehkan para pelajar DPI merasai pembelajaran yang interaktif dan memberikan pengalaman pembelajaran yang unik dan menarik.
Di antara koleksi spesimen yang dipamerkan di Muzium Anatomi ini adalah koleksi plastinasi dan spesimen jar. Untuk memudahkan pembelajaran, spesimen dipamerkan mengikut sistem tubuh badan bermula dari sistem tubuh secara keseluruhan, tangan, kaki, sistem respiratori, sistem urinari, sistem endokrin, sistem reproduktif, sistem kardiovaskular, toraks, abdomen dan lain-lain. Sebahagian daripada spesimen jar juga diwarnakan dan dilabel untuk memudahkan pelajar untuk mengenal pasti bahagian terbabit. (UKM, 2023)
Salah satu tarikan utama lawatan sambil belajar ini adalah pameran spesimen basah (wet specimen) dan spesimen plastinasi mayat manusia sebenar. Dalam lawatan ini, pihak Muzium telah menerangkan struktur anatomi manusia dan proses pengawetan (embalming) mayat manusia yang dilaksanakan oleh fakulti. Penjelasan dan pameran secara langsung ini sangat membantu para pelajar DPI memahami dengan lebih mendalam mengenai struktur dan fungsi tubuh badan manusia. Pendedahan ini sangat bermanfaat kepada para pelajar DPI terutamanya dalam aspek pengurusan bahan bukti biologi, pengurusan mayat di tempat kejadian, pememeliharaan keselamatan bahan-bahan bukti biologi dan kesedaran mengenai risiko dan bahaya semasa melaksanakan proses penyiasatan di tempat kejadian jenayah.
Sepanjang lawatan sambil belajar ini, para pelajar telah diiring oleh kakitangan muzium yang berpengetahuan luas dan sangat peramah. Mereka telah memberi penerangan mengenai muzium ini dengan penuh dedikasi dan tidak jemu menjawab segala pertanyaan yang diajukan oleh para pelajar. Kepakaran dan minat mereka dalam bidang ini telah membangkitkan minat yang lebih mendalam mengenai anatomi manusia di kalangan para pelajar DPI. Lawatan ini telah memberikan impak yang sangat besar dan merupakan suatu pengalaman bernilai yang tidak akan dilupakan.
Ditulis Oleh: Norashikin Othman