Pengenalan Analisis Forensik Gaya Berjalan (Pola Gait)
October 11, 2023Meningkatkan Kualiti Hidup Melalui Pendidikan
October 25, 2023Sindrom CSI atau “CSI Effect” merujuk kepada fenomena di mana persepsi individu terhadap sistem keadilan jenayah sangat dipengaruhi oleh rancangan televisyen jenayah popular seperti CSI (Crime Scene Investigation). Rancangan seperti ini sering menggambarkan teknik penyiasatan forensik berteknologi tinggi dan penyelesaian kes yang dapat dilaksanakan dengan sangat pantas. Ini mewujudkan persepsi dan harapan yang tidak realistik di kalangan orang awam mengenai kemampuan dan kecekapan agensi penguatkuasaan undang-undang.
Semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, sindrom CSI ini menjadi lebih ketara di Malaysia dan telah mempengaruhi persepsi dan harapan masyarakat terhadap kemampuan pasukan polis. Ketersediaan rancangan televisyen yang berkaitan dengan kejadian jenayah, serta pengaruh media sosial dan laporan berita, telah menyumbang kepada perkembangan sindrom CSI di negara ini.
Salah satu impak utama sindrom CSI, adalah masyarakat Malaysia mengharapkan siasatan polis dapat diselesaikan dengan cepat, sama seperti mana resolusi cepat yang digambarkan dalam rancangan televisyen tersebut. Ini telah menimbulkan rasa tidak sabar di kalangan masyarakat, yang menyebabkan mereka memberi kritikan yang hebat terhadap pasukan polis apabila siasatan memakan masa lebih lama daripada yang mereka jangkakan. Peningkatan tekanan dan harapan di kalangan masyarakat yang tidak munasabah ini berpotensi menghalang kelancaran proses penyiasatan polis.
Selain daripada itu, sindrom CSI juga telah meningkatkan jangkaan terhadap standard teknologi dan kepakaran agensi penguatkuasaan undang-undang. Orang ramai mengharapkan teknik forensik dan kemudahan makmal yang tercanggih, walaupun secara realitinya terdapat batasan dan kekangan sumber yang dihadapi oleh pasukan polis. Jurang besar di antara jangkaan dan realiti ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat dan menjejaskan keyakinan mereka terhadap pihak polis. Lebih-lebih lagi, sindrom CSI ini juga menyebabkan perspektif yang tidak jelas mengenai peranan dan kepentingan bukti forensik.
Orang ramai cenderung untuk mempercayai bahawa bukti forensik akan sentiasa wujud, muktamad dan sentiasa boleh menyelesaikan penyiasatan jenayah. Persepsi ini menyebabkan masyarakat mengabaikan kerumitan proses penyiasatan forensik yang sebenar dan membangkitkan keraguan yang tidak wajar di kalangan masyarakat terhadap keberkesanan pihak polis.
Walau bagaimanapun, adalah tidak wajar untuk kita melihat sindrom CSI ini sebagai suatu perkara yang hanya memberikan pengaruh negatif semata-mata. Sindrom ini juga boleh meningkatkan keprihatinan masyarakat untuk mengambil tahu mengenai kejadian jenayah, meningkatkan kesedaran dan kepekaan masyarakat terhadap perkembangan sains forensik, dan memupuk semangat kerjasama di antara masyarakat dengan pihak polis dalam usaha pencegahan jenayah.
Terdapat pelbagai pendekatan yang boleh diambil untuk mengimbangi sindrom CSI ini. Sebagai contohnya, pihak polis boleh melaksanakan inisiatif komunikasi dan menyampaikan pendidikan awam yang lebih proaktif. Ini boleh dilakukan melalui perkongsian maklumat di pelbagai saluran media seperti media sosial, forum awam, dan program sekolah dengan lebih kerap. Kekangan dan cabaran yang dihadapi oleh pihak polis dalam penyiasatan juga wajar dikongsi dengan masyarakat agar mereka lebih memahami realiti dunia penyiasatan. Dengan perkongsian seperti ini, masyarakat akan memperoleh pemahaman yang lebih tepat mengenai realiti pekerjaan polis dan menyejajarkan semula jangkaan dan harapan masyarakat dengan realiti proses penyiasatan jenayah yang sebenar.
Kesimpulannya, sindrom CSI telah mempengaruhi pemikiran dan harapan masyarakat terhadap penyiasatan jenayah dan pihak polis secara amnya. Dengan menyejajarkan semula jangkaan dan harapan ini melalui komunikasi dan pendidikan yang proaktif, kita dapat merapatkan jurang di antara persepsi masyarakat dengan realiti penyiasatan jenayah, sekaligus memapankan kepercayaan dan keyakinan masyarakat kepada sistem keadilan jenayah di Malaysia.
Ditulis Oleh: Norashikin Othman