ICMS Memperbaharui Memorandum Persefahaman dengan Society of Exercise is Medicine Malaysia (SEIMM) dalam Langkah Berwawasan
December 14, 2023Unlocking Opportunities in Sports Management Education at ICMS Malaysia
January 18, 2024Musim Liga IPT Divisyen 2 sudah pun melabuhkan tirai. Pasukan ICMS Titans yang tampil buat pertama kali dalam saingan Divisyen 2 menamatkan musim ini di peringkat kumpulan selepas berjaya mendapatkan 3 mata penuh bertemu HELP University namun tumpas kepada UTM dan MSU. Walaupun tidak berjaya layak ke peringkat kalah mati, ICMS Titans telah mempamerkan corak permainan yang baik dengan memberi saingan yang hebat menentang lawan mereka dan perkara ini harus diberikan pujian tatkala rata rata pemain yang beraksi dalam kempen kali ini merupakan pemain-pemain baharu.
Minggu lalu, media ICMS sempat menemubual ketua jurulatih ICMS, Coach Izzat Nazari untuk bertanya tentang keseluruhan kempen Liga IPT Divisyen 2 musim ini dan berikut adalah jawapan yang diberikan beliau:
Perubahan yang dilakukan selepas Piala Menteri:
Saya seorang yang realistik kerana hakikatnya kita belum ada kapasiti untuk sampai ke tahap untuk memenangi divisyen ini. Untuk kempen Liga IPT kali ini saya banyak membuat perubahan dari segi penyusunan dan pemilihan pemain berbanding dalam saingan Piala Menteri yang lalu.
Dari segi taktikal juga banyak perubahan yang saya lakukan kerana dalam Piala Menteri yang lalu nampak kita terlalu jauh ketinggalan dari segi keupayaan untuk bersaingan di peringkat yang tertinggi. Dari keseluruhan pasukan Piala Menteri yang lalu saya hanya mengekalkan 3 pemain sahaja, selebihnya saya sejuk bekukan dan tidak tersenarai dalam kempen Liga IPT tahun ini.
Rumusan tentang prestasi pemain
Di Piala Menteri kami kalah 2 perlawanan dan tidak menjaringkan sebarang gol dan bolos 5 gol manakala dalam Liga IPT pula kita kalah 2 perlawanan dan berjaya menjaringkan 2 gol dan bolos 4 jaringan. Kita juga berjaya membawa pulang 3 mata dalam 3 perlawanan. Sejujurnya, pasukan ini saya anggap pasukan yang baru dan muda di mana purata umur mereka adalah 18 tahun jadi pemain yang ada dengan saya ini saya anggap masih lagi baru dan saya lihat ada potensi untuk mereka pergi lebih jauh.
Dari sudut taktikal kita sebenarnya mampu bertahan dengan baik namun apabila unit serangan gagal memanfaaatkan peluang, kita berada dalam keadaan tertekan dan gol yang kami bolos sebenarnya bukan dari gerakan gerakan cantik pihak lawan namun dari serangan serangan balas yang merbahaya. Perkara ini berlaku kerana kami terlalu teruja untuk mendapatkan gol sehingga mengabaikan faktor pertahanan dan sedikit kecuaian kita dihukum oleh pihak lawan.
Dalam perlawanan bertemu UTM kami mendominasi perlawanan namun gagal memanfaatkan peluang di hadapan gol. Kami juga mendapat sepakan sudut yang banyak namun gagal untuk diterjemahkan kepada gol. Bertemu HELP Univerity juga kita berjaya mendapatkan banyak peluang namun gagal dimanfaatkan kepada gol dan perkara ini sangat merugikan kami.
Bertemu MSU pula, pihak lawan sebenarnya bermain tanpa tekanan kerana mereka sudahpun layak dan kami pula perlu menang besar bertemu mereka. Kita berjaya mendahului namun mereka menyamakan kedudukan di separuh masa pertama. Di separuh masa kedua, salah seorang pemain kami dilayangkan kad merah dan kami terpaksa bermain dengan sepuluh orang. Apabila bermain dengan 10 orang, ianya menyukarkan kami mencari jaringan untuk bangkit.
Secara keseluruhan saya optimis kerana saya lihat pemain pemain muda kita ada potensi untuk pergi lebih jauh. Rata rata pemain juga mampu bermain di pelbagai posisi dengan baik
Perancangan selepas tamat Liga IPT Divisyen 2
Perancangan saya selepas ini adalah untuk menumpukan kepada sesi serangan dan dalam masa yang sama mencari pemain yang lebih baik untuk memberi tekanan kepada pemain kesebelasan utama supaya mereka tidak terlalu selesa untuk merebut tempat.
Bagi tahun 2024, fokus saya adalah untuk menyelesaikan dahulu saingan Liga Football Hub sebelum fasa ‘off season’ di bulan Ramadhan. Kami akan mula semula pada pertengahan bulan Syawal nanti di mana kami akan berkumpul semula dan barisan kejurulatihan akan mulakan proses pemilihan untuk mencari pemain yang berpotensi besar.
Saya juga sedang menyediakan kertas kerja untuk dibentangkan kepada pihak pengurusan ICMS untuk memberi pendedahan kepada pemain pemain kami untuk beraksi luar dari ICMS dan menentang lawan lawan yang mempunyai tahap yang lebih tinggi dari kami seperti menentang pasukan Piala Presiden Negeri dan menentang pasukan Divisyen 1 Liga IPT. Hal ini kerana saya melihat pemain agak selesa bermain di laman sendiri namun sebaliknya pula di gelenggang lawan jadi pendedahan ini saya kira baik untuk pasukan.
Saya juga sedang menyiapkan kertas kerja untuk dibentangkan kepada pihak pengurusan untuk manambahbaik dari segi fasiliti Strength and conditioning dan juga rehabilitasi pemain dalam usaha menambahbaik lagi persiapan pasukan.
Secara merit, pasukan ICMS Titans akan kekal beraksi dalam saingan DIvisyen 2 Liga IPT tahun hadapan selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-3 kumpulan. Warga ICMS mengucapkan semoga berjaya kepada semua pemain dan pegawai ICMS Titans. Semoga terus maju ICMS Titans!
Ditulis Oleh: Fahmi Zaini