ICMS Titans Challenge League: Persembahan Bakat dan Semangat Kesukanan yang Mengkagumkan Menjelang Liga IPT (Divisyen II)
September 25, 2023Sindrom CSI (CSI Effect) Di Malaysia
October 13, 2023Analisis forensik gaya berjalan (pola gait) atau perbandingan gaya berjalan ditakrifkan sebagai 'pemeriksaan dan penilaian corak dan ciri gaya berjalan seseorang atau individu yang disyaki dan membandingkan ciri-ciri ini dengan bahan bukti di tempat kejadian jenayah untuk pengenalan identiti penjenayah.' Secara ringkasnya, analisis ini adalah kajian dan perbandingan corak berjalan seseorang untuk pengenalan diri dalam penyiasatan jenayah dan proses undang-undang.
Ini adalah berdasarkan prinsip bahawa setiap manusia mempunyai cara berjalan yang unik, dan maklumat ini dapat digunakan untuk menentukan identiti suspek atau pelaku tersebut. Analisis forensik corak gaya berjalan ini melibatkan pemeriksaan dan perbandingan yang teliti terhadap pelbagai parameter gaya berjalan, seperti panjang langkah, lebar langkah, sudut ketika melangkah, ayunan lengan, dan aspek pergerakan temporal. Parameter-parameter ini dapat dinilai melalui analisis rakaman video, gambar, atau daripada keterangan saksi tempat kejadian.
Sumber atau bahan bukti umum untuk analisis forensik gaya berjalan merangkumi rangkaian jejak kaki yang ditemui di tempat kejadian. Analisis ini boleh digunakan dalam siasatan kes di mana terdapat bukti fizikal yang terhad atau tidak ditemui bahan-bahan bukti fizikal yang lain, seperti cap jari atau DNA. Ia juga boleh digunakan sebagai bahan bukti sokongan kepada bahan bukti fizikal yang lain untuk membuktikan kehadiran atau penglibatan seseorang suspek di lokasi tempat kejadian. Malahan, ia juga merupakan bahan bukti fizikal kerana dapat memberikan maklumat penting mengenai seseorang, seperti usia, ketinggian, berat badan, ciri pergerakan, dan kebarangkalian mengenai sebarang kecederaan fizikal yang dialami oleh individu tersebut.
Gaya berjalan (Pola Gait) adalah unik bagi setiap individu dan dianggap sebagai salah satu bentuk pengenalan biometrik seseorang. Agensi penguatkuasaan undang-undang dan pakar forensik sering menggunakan analisis gaya berjalan sebagai alat dalam penyiasatan jenayah. Dengan mengkaji corak gaya berjalan suspek, penyiasat dapat membandingkannya dengan rakaman pengawasan atau keterangan saksi tempat kejadian untuk menentukan kesahihan kehadiran suspek di tempat kejadian tersebut atau mengesahkan sesuatu keterangan.
Analisis gaya dan corak berjalan mendapat kepentingan dalam penyiasatan jenayah kerana kepentingan forensik yang berikut:
1) Identifikasi: Setiap manusia mempunyai gaya berjalan yang berbeza kerana dipengaruhi oleh faktor seperti ukuran badan, kekuatan otot, struktur anatomi, dan sebarang kelainan fizikal. Dengan menganalisis rakaman pengawasan CCTV atau keterangan daripada saksi, penyiasat boleh membandingkan gaya berjalan seseorang suspek dengan gaya berjalan individu yang telah diketahui.
2) Bahan bukti di mahkamah: Analisis gaya berjalan boleh menjadi bukti yang kuat di mahkamah. Sebagai contohnya, sekiranya corak gaya berjalan suspek padan dengan rakaman pengawasan CCTV dari tempat kejadian, ia dapat memberikan bukti yang kuat mengenai kehadiran dan penglibatan suspek. Ini dapat membantu menunjukkan hubungkait di antara suspek dengan tempat kejadian jenayah, terutama apabila tidak ada bukti fizikal yang lain.
3) Menghubungkan jenayah bersiri: Dalam kes di mana banyak jenayah dilakukan oleh individu yang sama, menganalisis corak gaya berjalan dapat membantu penyiasat menghubungkaitkan jenayah-jenayah tersebut. Dengan membandingkan corak gaya berjalan dari tempat kejadian yang berbeza, penyiasat dapat menentukan samada individu yang sama bertanggung jawab atas rantaian jenayah tersebut. Hubungkait ini berpotensi untuk pengenalan dan penangkapan pesalah bersiri tersebut.
4) Petunjuk penyiasatan: Analisis corak gaya berjalan dapat memberikan petunjuk penting dalam penyelidikan. Sebagai contohnya, jika corak gaya berjalan suspek menunjukkan kecederaan atau keunikan keadaan fizikalnya, ia dapat membantu penyiasat mengecilkan skop pencarian mereka dengan memberi tumpuan kepada individu dengan mempamerkan keadaan yang serupa. Begitu juga, jika corak gaya berjalan suspek sangat unik dan berlainan, maklumat ini dapat membantu saksi mengingat dan mengenali suspek dengan lebih berkesan.
5) Mengenalpasti cubaan mengelirukan penyiasat: Penjenayah sering berusaha untuk menyamar atau mengubah penampilan diri mereka semasa melakukan jenayah, seperti menukar pemakaian atau memakai topeng. Namun, adalah lebih sukar untuk mengubah corak gaya berjalan seseorang dengan sengaja. Analisis gaya berjalan dapat membantu mengenal pasti individu yang mungkin cuba menyembunyikan identiti mereka semasa melakukan jenayah.
Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa analisis corak gaya berjalan tidak dianggap boleh sebagai bahan bukti yang muktamad seperti bentuk bukti pengenalan yang lain. Faktor-faktor seperti perubahan kasut, kecederaan fizikal, dan percubaan sengaja untuk mengubah gaya berjalan boleh mempengaruhi ketepatan intepretasi analisis ini. Ketepatan dan kesahihan analisis corak gaya berjalan juga boleh dipengaruhi oleh kualiti bukti video atau fotografi, batasan persepsi manusia, dan potensi bias. Harus diingat bahawa analisis gaya berjalan harus digunakan bersama dengan teknik dan bukti penyiasatan yang lain untuk memperkuatkan kebolehpercayaan bahan bukti ini dalam sesuatu penyiasatan.
Kesimpulannya, analisis corak gaya berjalan memainkan peranan penting dalam penyiasatan jenayah. Ini dapat memberikan pengenalan, bukti, dan petunjuk yang sangat berharga, membantu penyiasat menghubungkaitkan hubungan di antara suspek dengan jenayah, dan berpotensi menyelesaikan kes-kes yang kompleks.
Ditulis Oleh: Norashikin Othman