
Demonstrasi Pasukan K9 PDRM: Pendedahan Praktikal untuk Pelajar Fakulti Undang – Undang & Penguatkuasaan ICMS
September 11, 2025
ICMS and IFSAT Formalize Strategic Collaboration to Advance Global Sports and Tourism Education
September 18, 2025
Pada 18 September 2025, Fakulti Undang-Undang & Penguatkuasaan, International University College of Management and Sports (ICMS), dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, akan menganjurkan sebuah program istimewa berbentuk demonstrasi bersama Pasukan K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM). Acara ini akan berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 10.00 pagi bertempat di IPD Petaling Jaya.
Program ini dianjurkan sebagai salah satu usaha fakulti untuk memberikan pendedahan praktikal kepada para pelajar mengenai peranan kritikal unit K9 dalam operasi penguatkuasaan undang-undang. Seperti yang diketahui umum, unit K9 PDRM mempunyai kepakaran tinggi dalam aspek pengesanan dadah, bahan letupan, serta membantu siasatan kes jenayah. Kehadiran mereka dalam dunia kepolisan menjadikan unit ini antara barisan hadapan yang berperanan penting dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di Malaysia.
Demonstrasi ini diwajibkan kehadiran bagi semua pelajar Diploma dalam bidang Enforcement Management (DEM) dan Policing & Investigation (DPI) dari semester satu hingga enam. Manakala pelajar semester tujuh yang sedang menunggu penempatan latihan praktikal turut digalakkan hadir, bersama pelajar daripada program-program lain yang berminat untuk mendapatkan pengalaman secara langsung. Sebagai penghargaan, semua peserta akan menerima sijil penyertaan rasmi daripada pihak penganjur.
Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk meningkatkan kefahaman pelajar tentang bagaimana pembelajaran teori yang diterima di bilik kuliah dapat diaplikasikan secara nyata di lapangan. Melalui demonstrasi sebenar oleh Pasukan K9 PDRM, pelajar akan dapat melihat sendiri teknik penyiasatan, kaedah pengesanan, serta strategi kepolisan yang digunakan dalam operasi harian. Pendedahan ini amat penting kerana ia memberikan nilai tambah yang sukar diperoleh hanya melalui bahan bacaan atau kuliah teori.
Di samping itu, program ini diharap dapat membina kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai kepentingan integrasi antara ilmu akademik dengan pengalaman praktikal. Hubungan ini bukan sahaja memperkukuh kefahaman, tetapi juga membina keyakinan pelajar untuk mengaplikasikan ilmu tersebut dalam situasi sebenar kelak, sama ada ketika menjalani latihan industri mahupun apabila mereka menjejakkan kaki ke alam pekerjaan.
Fakulti Undang-Undang & Penguatkuasaan ICMS sentiasa menekankan kepentingan pendekatan pembelajaran bersepadu yang menggabungkan elemen teori, kajian kes, serta pengalaman praktikal. Melalui acara seperti demonstrasi Pasukan K9 ini, fakulti berhasrat melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga memiliki kemahiran insaniah, daya tahan, dan kefahaman mendalam tentang cabaran sebenar dalam bidang penguatkuasaan undang-undang.







