
Learning by Doing: Our Partnership with Boustead Hotels & Resorts
October 24, 2025
Diploma Sains Komputer di ICMS: Pilihan Bijak untuk Masa Depan Digital
October 29, 2025Dalam menghadapi dinamika ekonomi digital dan globalisasi yang semakin kompleks, pendidikan tinggi tidak lagi wajar dilihat sebagai satu pilihan peribadi semata-mata, sebaliknya ia merupakan suatu keperluan strategik bagi menjamin daya saing individu dan kestabilan sosial jangka panjang. Evolusi teknologi, khususnya dalam bidang automasi, kecerdasan buatan dan data raya, telah merombak struktur pasaran buruh secara drastik. Perubahan ini menuntut kemahiran yang melangkaui pengetahuan asas; ia memerlukan kombinasi literasi teknologi, keboleh suaian antara bidang (interdisciplinarity), serta keupayaan membuat keputusan berdasarkan pemikiran analitik dan reflektif. Dalam konteks ini, institusi pengajian tinggi perlu dilihat sebagai pemangkin utama kepada pembangunan modal insan yang progresif dan beretika.
Institusi seperti International College of Management and Sports (ICMS) mengambil pendekatan proaktif dengan menawarkan program-program akademik yang bersifat responsif terhadap keperluan pasaran semasa. Sebagai contoh, program Ijazah Sarjana Muda Penguatkuasaan Undang-Undang bukan sahaja memberikan pendedahan kepada aspek perundangan dan keselamatan, tetapi juga melatih pelajar dengan kemahiran penyiasatan, pengurusan krisis, serta etika profesional — elemen-elemen yang amat diperlukan dalam sektor awam dan swasta, baik di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Begitu juga dengan program dalam bidang Teknologi Maklumat dan Keusahawanan Digital yang menekankan pembangunan kemahiran berkaitan automasi, sistem pintar, dan keselamatan siber, sejajar dengan tuntutan Revolusi Industri 4.0.
Dari sudut falsafah pendidikan, proses menyambung pengajian perlu difahami sebagai usaha memperkasa diri untuk menyumbang secara lebih signifikan kepada kesejahteraan masyarakat dan kemajuan negara. Graduan yang berkelayakan bukan sahaja memiliki kelebihan dari segi peluang kerjaya dan tahap pendapatan, tetapi juga lebih cenderung untuk menjadi agen perubahan dalam komuniti masing-masing. Oleh itu, keengganan untuk melanjutkan pelajaran berisiko mengehadkan potensi individu untuk berkembang, sekaligus menjauhkan mereka daripada arus utama pembangunan negara. Dalam era yang didorong oleh pengetahuan, melabur dalam pendidikan tinggi bukan sekadar keputusan bijak namun ia adalah satu keperluan yang tidak boleh ditangguhkan.
Dituliskan oleh: Siti Nur Sulhaini

